KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang dilihat seolah-oleh membela kenyataan pemimpin pembangkang Semenanjung berkait istilah ‘palui’.
“Istilah ini bermaksud bodoh dalam bahasa tempatan, adalah satu penghinaan besar kepada rakyat Sabah yang selama ini mengutamakan keharmonian dan budaya politik yang santun.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan sikap tidak menghormati rakyat Sabah serta budaya kita yang jauh berbeza daripada budaya politik yang sering dijaja Perikatan Nasional.
“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hanya mempertahankan maruah rakyat Sabah apabila beliau menempelak tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Amat mengecewakan apabila pemimpin seperti Suhaimi memilih untuk membela pihak yang menghina rakyat Sabah, malah menuduh Hajiji menggunakan isu ini sebagai alat politik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini
Tambah Nizam, tindakan itu bukan sahaja tidak berasas, tetapi menunjukkan kesanggupan UMNO Sabah untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri, walaupun terpaksa berpihak kepada Bersatu yang merupakan seteru politik mereka.
Katanya, situasi ini amat janggal, dan jelas membuktikan bahawa UMNO Sabah sanggup melakukan apa sahaja demi menyerang kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sedangkan kerajaan GRS PH Plus di bawah kepimpinan Hajiji terus membawa pelbagai pencapaian bermakna kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
Jelas Nizam lagi, dalam tempoh empat tahun, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, termasuk dalam sektor pendidikan melalui program BUDI, BAKTI, BAGUS, dan BAIK yang menyokong pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
“Subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang untuk pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan, serta subsidi pengangkutan sebanyak RM300 seorang untuk pelajar dalam negeri, telah meringankan beban keluarga di Sabah.
“Selain itu, inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan kepada keluarga miskin dan miskin tegar, manakala Rumah Mesra SMJ dibina secara percuma untuk rakyat yang memerlukan di mana ia adalah satu langkah bersejarah di negeri ini,” jelasnya.
Manakala, dalam aspek pembangunan infrastruktur, katanya, kerajaan Sabah juga telah merangka perancangan tenaga boleh diperbaharui untuk mengatasi isu bekalan elektrik dan air dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Projek seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, round off river di Tenom, gas engine di KKIP dan Sipitang, serta solar farm di 15 lokasi seluruh Sabah, dijangka meningkatkan kapasiti grid bekalan elektrik negeri ini.
“Selain itu, pelaksanaan loji rawatan air baharu juga akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
Tegas Nizam lagi, jelaslah bahawa kerajaan GRS terus komited untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
“Kami menyeru pemimpin seperti Suhaimi agar tidak mengutamakan permainan politik semata-mata sehingga sanggup memihak kepada pihak yang menghina rakyat Sabah. Sebaliknya, semua pihak harus menghormati budaya dan maruah negeri ini,” ujarnya.