KOTA KINABALU: Gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5.9 dilaporkan berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia pada jam 10.53 malam, semalam dengan gegaran turut dirasai di sekitar Semporna, Tawau, dan Lahad Datu, Sabah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam turut melaporkan bahawa gempa bumi tersebut berlaku pada jarak 210 kilometer timur laut dari Palu, Indonesia.
Menurut MetMalaysia, gempa bumi sederhana pada kedalaman 80 kilometer itu berlaku pada koordinat 0.5 darjah Utara dan 121.2 darjah Timur.
MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran tersebut untuk mengisi borang soal selidik di pautan https://forms.gle/UUwf3JsW9kthTVr38.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima maklumat gegaran yang dirasai di tiga kawasan tersebut dan pemantauan situasi itu sedang dilakukan, lapor Bernama.
“Setakat ini tiada laporan kejadian tidak diingini diterima dan pihak kami sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.