TAWAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes penipuan di Serdang, Selangor, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan taman perumahan di Batu 3, Jalan Apas, Tawau kira-kira jam 11.10 malam hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.
“Suspek dipercayai terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan di Serdang, Selangor, dan telah dikesan berada di Tawau. Pasukan dari Strike Team, Balai Polis Tawau yang diketuai Ketua Polis Balai, Inspektor Hamka bin Ab Rashid bertindak pantas menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ACP Jasmin, suspek berusia 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika disabitkan kesalahan.
Katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kes-kes penipuan lain dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan jenayah yang mungkin ada kaitan dengan individu tersebut.
Tambahnya, Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau urusan yang mencurigakan. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain boleh menyalurkan maklumat kepada IPD Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).