MEMBAKUT: Sebanyak 15 buah Rumah Ihsan Membakut (RIM) telah dibina dan diberikan kepada mereka yang memerlukan di daerah ini sepanjang tempoh tiga tahun dengan menggunakan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebanyak lebih kurang RM35,00 hingga RM40,000.
ADUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, manakala lima lagi buah RIM akan dibina pada tahun ini untuk diberikan kepada penduduk yang memerlukan.
“RIM ini kita peruntukkan bagi mereka, rumah mereka terbakar kemudian kadang-kadang ada rumah yang runtuh kerana banjir dan beberapa rumah yang mendesak untuk kita bina.
“Ada dua buah bilik kemudian satu dapur kemudian ada ruang tamu, bilik mandi dan ini kita wujudkan untuk membantu mereka yang menjadi mangsa kebakaran, mangsa rumah mereka yang sudah uzur dan kita utamakan mereka yang terlibat dalam bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan kunci Rumah Ihsan Membakut di sini, semalam.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tahun ini RIM akan dibina untuk mereka yang memerlukan tanpa terlibat sebarang bencana.
“Mudah-mudahan pada tahun ini akan ada lagi kita bina, bukan untuk mereka yang terlibat kebakaran tetapi mereka yang memerlukan rumah kerana rumah mereka usang atau mereka tidak mempunyai rumah, tinggal bersama dengan keluarga dan ini kita gunakan untuk membantu mereka.
“Sebelum itu sudah ada 10 buah, sudah ada 15 buah dan tahun ini kita merancang ada 5 buah lagi disamping Rumah Mesra SMJ sudah 40 buah dan kita harap ada lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada kerajaan persekutan.
“Tapi kita fokus Rumah SMJ, sudah ada senarai kita sediakan di bawah jawatankuasa fokus group yang dipengerusikan oleh pegawai daerah bersama dengan Pempimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Pimpinan Masyarakat. Sudah kita kumpul, sudah kita tapis dan tinggal kita laksanakan, mereka yang diberi keutamaan untuk mendapat rumah SMJ ini,” katanya.
Tambah Arifin, pembinaan RIM pula akan perincikan lagi dan akan bantu mana yang tidak berjaya mendapatkan Rumah SMJ.
“Rumah SMJ kita mula selewat-lewatnya bulan Mac, kita sudah kenal pasti, senarai sudah ada tinggal kita laksanakan. Tahun lalu Alhamdulillah semua sudah kita laksanakan dan tidak ada masalah untuk kawasan DUN Membakut,” jelasnya.