KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan bahawa Perintah Gaji Minimum baharu akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai esok (1 Februari 2025) dengan menetapkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
KESUMA dalam kenyataan berkata, ini terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih; dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
“Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuatkuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025. Hal ini bagi memastikan majikan diberi tempoh yang mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
“Langkah ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
“la juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘Menaikkan Lantai ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
KESUMA dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum ini dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
“Kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum ini merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” tegasnya.
Bagi memastikan peralihan ini dapat berjalan lancar, KESUMA telah menyediakan beberapa inisiatif sokongan kepada majikan dan pekerja, termasuk sesi libat urus diadakan untuk majikan bagi memahami pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.
“Sebanyak 16 sesi libat urus dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 1,109 penyertaan persatuan majikan, wakil industri, kesatuan sekerja dan wakil pekerja, agensi kerajaan dan pakar antarabangsa seperti International Labour Organisation (ILO).
“Saluran aduan dan pemantauan bagi pekerja yang menghadapi isu ketidakpatuhan menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah, dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak,” tambahnya.