Advertisement

Semua PPS Di Kota Marudu Ditutup 10 Pagi Ini, Bencana Banjir Pulih Sepenuhnya – Sabah News

KOTA KINABALU : Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Marudu ditutup pada jam 10 pagi ini selepas kediaman penduduk terjejas bencana banjir didapati selamat untuk didiami.

Pegawai Daerah Kota Marudu, Meirin Sugara berkata, penutupan itu adalah berdasarkan maklumat daripada agensi tindak balas yang membuat tinjauan di lokasi terjejas banjir.

Justeru itu, beliau dalam satu kenyataan pagi ini mengisytiharkan bahawa kejadian bencana telah pulih sepenuhnya hari ini.

“Dengan mengambil kira keadaan cuaca yang baik serta paras air yang telah pulih sepenuhnya, adalah diisytiharkan bahawa semua PPS ditutup dan kediaman penduduk terjejas bencana (PTB) adalah selamat untuk didiami,” katanya.

Meirin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu berkata, pihaknya telah mengarahkan agar komander operasi bencana menyelaraskan kekuatan anggota, aset dan logistik di PKTK untuk operasi penghantaran pulang PTB ke kediaman masing-masing.

“Di kesempatan ini juga, saya meminta jasa baik agensi tindak balas di lapangan untuk menilai sekiranya ada keperluan untuk aktiviti pasca bencana bersepadu dilaksanakan,” katanya.