KOTA KINABALU: Kerajaan dicadangkan untuk memartabatkan budaya etnik Sabah dengan pemakaian kostum etnik Sabah dijadikan kod pakaian rasmi dalam majlis rasmi kerajaan.
Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata dengan pemakaian kostum-kostum pelbagai etnik di Sabah bukan sahaja cantik dan menarik untuk dipakai tetapi juga ada nilai komersial.
Katanya pembuat kostum dari pelbagai Etnik di negeri ini banyak menghasilkan kostum-kostum yang berpelbagai dan bermutu bukan sahaja orang tempatan yang mahu membelinya, malahan pelancong luar juga akan tertarik untuk membeli dan memilikinya.
“Bagi memartabatkan lagi pemakaian Kostum-kostum Etnik Sabah, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar ia dijadikan kod pakaian rasmi dalam majlis-majlis keraian Kerajaan Negeri dan pada hari-hari tertentu yang ianya difikirkan wajar.
“Pada masa ini setiap Khamis kakitangan kerajaan memakai baju batik,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Malam Budaya Etnik Sabah di sini.
Turut hadir, tetamu kehormat Datin Seri Linda Ewit isteri Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri yang mewakili isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Noorfaridah Haji Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Naib Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Annie Louders,
Menurut Azizah rakyat Sabah perlu berusaha mengekal serta memperkasa budaya, bahasa dan adat etnik di negeri ini agar tidak terpinggir dalam arus kemodenan serta teknologi semasa.
Tambahnya di Sabah kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada 35 etnik dan 217 sub etnik serta menggunakan lebih 50 bahasa dan kira-kira 90 dialek perlu dipertahankan untuk diwarisi generasi muda akan datang.
“Saya mahu persatuan-persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda boleh bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, maka akan hilang identiti kaum tersebut dan jika hilang identiti apa lagi yang boleh kita banggakan untuk generasi akan datang,” katanya.
Azizah berkata, rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu sentiasa berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh orang luar.
Katanya, muzik dan lagu sama ada Kadazan, Dusun, Bajau dan Murut membentuk dan mewujudkan identiti budaya yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik serta menarik.
“Kita perlu ingat bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.
“Kekayaan budaya juga merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri, melalui industri pelancongan, industri seni kreatif termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.
Kira-kira 32 orang terlibat, termasuk dua orang jurulatih dan 30 peserta/penari dari Biro Kebudayaan PPS dan Briged Muda PPS yang terlibat dalam Program Latihan Tarian Tradisi Etnik Sabah yang diadakan sebelum ini, dimana para Jurulatih dan peserta (penari) didedah dan diajar pelbagai jenis tarian tradisi suku kaum Sabah.