Advertisement

KKM Kenal Pasti Lebih 800 Kes Kesihatan Di Kalangan Mangsa Banjir Sabah dan Sarawak – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan lebih 800 kes kesihatan selepas melakukan pemeriksaan ke atas 9,379 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak.

Antara kes yang dikesan ialah jangkitan saluran pernafasan akut (671 kes), jangkitan kulit (82), gastroenteritis akut (27), konjunktivitis (17), serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan satu kes.

“Tiada kes campak, tifoid, leptospirosis, COVID-19 dan wabak lain yang dilaporkan di PPS,” kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, 22 daripada 30 fasiliti kesihatan di Sarawak dan 27 fasiliti kesihatan di Sabah yang terjejas akibat banjir telah mula beroperasi semula.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menggerakkan 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan, manakala Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengaktifkan 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan ke semua PPS yang terlibat.

KKM menegaskan komitmennya untuk terus memantau keadaan kesihatan di PPS dan memastikan langkah-langkah pencegahan serta kawalan penyakit dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan mangsa banjir.