KOTA KINABALU: Penduduk di kawasan berisiko tinggi seperti Telupid, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Ranau, dan Kota Belud dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga susulan amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan dan segera berpindah ke kawasan lebih selamat jika perlu.
“Saya menggesa semua yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada.
“Ketua kampung, pemimpin masyarakat, serta pihak berkuasa tempatan perlu membantu dalam usaha pemindahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi banjir termasuk pembersihan sistem perparitan, pelebaran dan pendalaman sungai serta projek tebatan banjir yang sedang berjalan.
“Walaupun usaha ini mengurangkan risiko banjir, ia tidak dapat menghapuskannya sepenuhnya.
“Oleh itu, penduduk perlu terus berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” tambahnya.
Kerajaan negeri bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), agensi berkaitan, dan pihak berkuasa tempatan sedang memantau keadaan dan bersedia memberikan bantuan.
Orang ramai disaran mengikuti maklumat terkini daripada saluran rasmi seperti MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.