Advertisement

Penutupan Separa Kecemasan Untuk Pembaikan Paip Di Jalan Penampang – Sabah News

KOTA KINABALU: Penduduk di Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan dinasihatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air pada Jumaat ini (7 Februari), bermula jam 2 petang, susulan kerja-kerja pembaikan paip 1200mm di Paip T2A, berhadapan Skyline SIB, Jalan Penampang.

Menurut Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, kerja pembaikan ini diperlukan bagi menangani kebocoran pada paip washout tegak 250mm, yang dipercayai berpunca daripada tekanan beban lateral.

“Pasukan teknikal akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan selesai dalam tempoh 12 jam untuk mengurangkan impak kepada pengguna,” katanya.

Semasa pembaikan, Loji Rawatan Air Moyog akan beroperasi pada kapasiti terhad, hanya menghasilkan 109 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti biasa 187 MLD, iaitu pengurangan 41 peratus dalam pengeluaran air terawat.

Antara kawasan terjejas termasuk Pusat Bandar KK, Kepayan, Tanjung Lipat, Kolombong, Inanam, Luyang, Bukit Padang, Penampang, Putatan, dan Petagas, yang dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara.

Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, namun pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya dan menggunakan secara berhemat sehingga bekalan kembali stabil.

“Kami menyeru orang ramai untuk mengikuti pengumuman rasmi JANS bagi perkembangan terkini dan menghubungi talian Cereline JANS jika terdapat sebarang pertanyaan,” tambah Shahelmey dalam kenyataan hari ini.