KOTA KINABALU: Seramai 80 golongan warga emas diraikan dalam sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Kapayan di Taman Delima Kapayan, semalam.
Ketua Gagasan Rakyat Kapayan, Datuk Stephen Jimbangan berkata, sambutan itu mendapat reaksi positif dari kalangan penduduk sekitar termasuk warga emas dan para peniaga sekitar kawasan itu.
“Semua peniaga di satu baris kedai ini menyatakan kepada kami bahawa seingat mereka, belum pernah apa-apa perayaan pernah diadakan di Taman Delima ini dan mereka sungguh teruja dan untuk itu kami berterima kasih kepada semua peniaga di sini kerana telah dengan riangnya bersetuju supaya majlis ini diadakan di sini pada malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Mesra Warga Emas di Taman Delima Kapayan 2025, di sini, semalam.
Hadir merasmikan majlis itu ialah, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan turut bersama-sama hadir Ketua Gagasan Rakyat Inanam, Datuk Roland Chia.
Sementara itu, Pengerusi penganjur majlis, Mitchell Chong berkata, objektif penganjuran majlis itu adalah untuk menghargai dan meraikan golongan warga emas yang telah banyak berjasa dalam membentuk komuniti hari ini.
“Mereka adalah tiang seri keluarga, pencorak budaya, dan penyimpan khazanah nilai-nilai murni yang harus kita
hargai.
Tambah Mitchell yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kapayan, pihaknya berbesar hati kerana malam ini diadakan bersempena dengan Hari Ketujuh Tahun Baru Cina, yang dalam kepercayaan masyarakat Cina dikenali sebagai “Renri” atau Hari Jadi Semua Orang.
“Ia adalah hari yang melambangkan kesejahteraan dan
kebersamaan, di mana kita semua, tanpa mengira latar belakang,
diraikan sebagai satu keluarga besar. Justeru, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Selamat Hari Jadi kepada semuayang hadir malam ini,” katanya.