Advertisement

Arifin Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pihak Pemfitnah Dengan Kartel Cuba Monopoli Lesen Perlombongan Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terlibat memfitnah bersekongkol dengan kumpulan kartel yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah.

Jelas Arifin, ia termasuklah laporan media yang disiarkan portal berita MalaysiaKini pada 3 Februari lalu yang bertajuk ‘Pendedahan Maklumat: Menantu Musa Aman Tawar Penyelesaian Tutup Mulut Saya’.

“Saya ingin menyatakan bahawa laporan media tersebut adalah satu laporan yang berniat jahat kerana mengandungi dakwaan-dakwaan yang tidak tepat, mengelirukan, dan juga mengandungi fakta-fakta yang palsu dan memfitnah.

“Laporan media tersebut jelas membuktikan bahawa individu tersebut dengan kumpulan kartelnya akan menggunakan segala helah dan tipu daya untuk mendapatkan lesen-lesen perlombongan termasuk memfitnah saya dan individu-individu yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini, sebentar tadi.

Arifin ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, laporan itu membuktikan motif utama kumpulan kartel tersebut di dalam mengeluarkan dan menyebarkan berita-berita dan fakta-fakta palsu adalah untuk memonopoli lesen-lesen perlombongan di Sabah.

“Pada bila-bila masa Malaysia Kini tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan berhubung dengan perkara ini sebelum disiarkan.

“Oleh yang demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersongkongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah,” katanya.

Ketika ditanya berhubung tindakan selanjutnya, Arifin berkata, segala perincian dan tindakan susulan akan diserahkan kepada peguamnya.

“Saya serahkan dengan peguam saya nanti, perinciannya pun akan dilaksanakan melalui peguam-peguam yang saya lantik,” katanya.