KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 40-an maut dalam satu kejadian langgar lari di Jalan Bunga Raja Kayu, berhampiran lampu isyarat PPK Lido, Kota Kinabalu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata kejadian berlaku sekitar jam 8.55 malam apabila mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
“Mangsa ditemui terbaring di tengah-tengah garisan pembahagi lorong menghala ke Jalan Penampang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan yang melanggar mangsa melarikan diri selepas kejadian.
“Usaha mengesan pemandu terbabit sedang giat dijalankan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Brymenedren Godon di talian 010-7768802,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati, manakala pejalan kaki diingatkan untuk memastikan keadaan selamat sebelum melintas jalan.