LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah merekodkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina tertinggi dipindah ke negara asal sejak Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sepanjang tempoh itu, jumlah warga asing yang dipindahkan di Sabah adalah seramai 437 orang.
Katanya, PATI warga Filipina yang dihantar pulang seramai 221 orang atau 50 peratus (%), diikuti warga Indonesia 165 orang (37%), 33 orang (8%) warga Pakistan, 12 (3%) warga China dan masing-masing tiga atau (1%) warga Vietnam dan lain-lain warganegara.
Beliau menegaskan, kesemua tahanan PATI ini disenaraihitam dalam sistem JIM mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya, hari ini.
Menurut Datuk Sh Sitti Saleha, pihaknya memindahkan 76 PATI Filipina menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan pengangkutan MV Ming Hai dengan pembiayaan sendiri.
Pemindahan PATI dari depot Imigresen Sandakan itu membabitkan 48 lelaki, 11 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan berumur tiga bulan hingga 76 tahun.
Tambahnya lagi, kesemua PATI berkenaan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa permit sah selain tinggal lebih masa.
Katanya, kekerapan pemindahan PATI tertakhluk kepada pengeluaran ‘Travel Document’ (TD) secara berterusan oleh kedutaan Republik Filipina di Malaysia.