Advertisement

Cubaan Seludup 9.6 Tan Gula Kasar Di Tawau Dipatahkan Maritim Malaysia  – Sabah News

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang sarat dengan barang kawalan di kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3, sekitar pukul 8.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op PLUTO TIMUR dan Op TIRIS telah berjaya mengesan pergerakan bot kargo tersebut sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot kargo tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang merupakan pekerja di atas bot tersebut.

“Pemeriksaaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan tiada sebarang pengikraran barangan dilakukan. 

“Semakan juga mendapati nama juragan juga tiada daftar di dalam lesen bot.

“Juragan seterusnya ditahan bersama bot kargo dan muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrizan berkata hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut telah menemukan sejumlah 9,600 kilogram gula pasir paket sekilo di dalam bot kargo tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS).

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60 ribu,” katanya.