Advertisement

G57 Tidak Gentar, Akan Teruskan Perjuangan – Zulkarnain – Sabah News

Datuk Zulkarnain Mahdar, Pengerusi G57…

KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, menegaskan bahawa pihaknya tidak gentar dengan tindakan polis terhadap penganjur Himpunan Bangkit Sabahan.

“Kami kesal dengan keputusan Polis Sabah mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan aman pada 31 Disember lalu.

“Saya sendiri telah dimaklumkan akan didakwa di mahkamah, dan saya bersedia melawan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tindakan ini bertentangan dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menggesa supaya siasatan terhadap mahasiswa dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah dihentikan.

“Sebaliknya, pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur Himpunan Bangkit Sabahan, yang diadakan pada 31 Disember 2024. Ini adalah satu langkah ke belakang,” katanya.

Zulkarnain turut menegaskan bahawa perhimpunan tersebut bertujuan mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) daripada serangan fitnah, sambil menyatakan pihaknya merancang untuk mengadakan perhimpunan lebih besar selepas ini.

“Jika benar mahu bertindak, kenapa tidak membawa Fahmi Reza ke mahkamah dahulu kerana menghina Yang Di-Pertua Negeri Sabah?” tegasnya.

G57 juga akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan Yang Di-Pertuan Agong bagi menggesa campur tangan dalam keputusan polis Sabah terhadap perhimpunan aman di negeri itu.