LAHAD DATU: Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan selepas lori lima tan yang dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori lain, iaitu lori 10 tan dalam kemalangan di Simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balacon Jalan Sandakan – Lahad Datu awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.42 pagi.
“Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di lori 5 tan, iaitu lelaki dan wanita masing-masing berusia 31 tahun telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS BOMBA di tempat kejadian.
“Kedua mangsa seterusnya dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Manakala, pemandu lori 10 tan, lelaki berusia 44 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.24 pagi.