Advertisement

Pameran “Derivatives: Beads & Lore” Jelajah Budaya Manik Sabah Sabtu Ini – Sabah News

Jesse (kanan) dan Ricardo bersama pameran manik tradisional Sabah…

KOTA KINABALU: Pameran pertama seumpamanya yang menampilkan budaya dan kegunaan manik di Sabah, baik secara tradisional mahupun kontemporari, akan berlangsung di Galeri Seni Sabah pada 22-23 Februari 2025.

“Derivatives: Beads & Lore” adalah inisiatif kendiri yang menghimpunkan seniman serta kolaborator dari pelbagai latar belakang bagi menonjolkan manik sebagai elemen penting dalam budaya material Sabah.

Kurator utama, Jesse Joy, berkata pameran ini menepis anggapan bahawa kraf tradisional semakin pupus akibat kekurangan bahan atau teknik yang dilupakan.

“Pameran ini membuktikan budaya manik Sabah boleh terus berkembang melalui kajian, inovasi, dan ekspresi seni moden,” katanya.

Antara tarikan utama pameran ini termasuk artifak sejarah, perhiasan manik yang direka semula daripada rujukan arkib, serta bahagian khas yang memaparkan buku dan foto sejarah berkaitan manik.

Selain itu, pengunjung boleh menyertai bazar mini yang menawarkan pelbagai manik unik dan hasil tangan artis tempatan.

Menurut kurator bersama, Ricardo Unto, pameran ini juga bertujuan memperluas pemahaman terhadap warisan manik Sabah yang sering dipandang sebelah mata berbanding manik Sarawak.

“Pameran ini menyingkap kisah di sebalik tradisi manik Sabah, perjalanan manik melalui perdagangan dan geografi, serta kepentingannya dalam komuniti setempat,” jelasnya.

Pameran ini adalah sebahagian daripada Pameran Seni Tanong yang dianjurkan oleh Galeri Seni Sabah dengan kerjasama Asgardian Art dan akan menampilkan barisan artis serta penggiat seni seperti Whitedaisybybeba, Barrynicker Gary, Erny Espinosa Benihin, Mariah Doksil, Rasmah Rumambai, Saerah R Kunjan, dan kumpulan seni Sang Tukang.

Selain pameran, sesi perkongsian, bengkel pembuatan manik, serta demonstrasi kraf turut diadakan untuk memberi pengalaman lebih mendalam kepada pengunjung mengenai dunia manik Sabah.

“Derivatives: Beads & Lore” diharap dapat menghidupkan semula apresiasi terhadap budaya manik dan memastikan warisan ini terus relevan untuk generasi akan datang.