Advertisement

Kanak-Kanak 10 Tahun Tercekik Gula-Gula Gummy, Meninggal Dunia Semalam – Sabah News

Arwah Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin…

GEORGE TOWN, PULAU PINANG: Kanak-kanak berusia 10 tahun yang kritikal selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy, meninggal dunia, semalam.

Berita sedih itu dimaklumkan oleh ibu saudaranya Siti Farhani Muhammad Fikri, 33.

Siti Farhani ketika dihubungi berkata, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin meninggal dunia kira-kira 11 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan oleh ibu Mohammad Fahmi Hafiz, yang mangsa telah meninggal dunia sebentar tadi dan jenazah akan dikebumikan di kampung neneknya di Permatang Binjai selepas selesai urusan di hospital nanti,” katanya, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang murid darjah empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth kritikal dan dirawat di PICU Hospital Pulau Pinang selepas tercekik gula-gula jenis gummy yang dibelinya di luar kawasan sekolah.

Mohammad Fahmi Hafiz dipercayai membeli dua biji gula-gula itu sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang. — BERNAMA