PENAMPANG: Seramai 110 usahawan muda Sabah yang terpilih menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 tahun 2025, akan menerima Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berharap, semua peserta TUBE 11 di Sabah dapat menunjukkan prestasi membanggakan selepas menamatkan program dan seterusnya membangunkan perniagaan yang dirancang bagi menyumbang kemajuan ekonomi negeri.
“Program TUBE ini direka khas untuk membentuk belia yang bukan sahaja berani memulakan perniagaan, tetapi dilengkapi dengan pengetahuan asas keusahawanan dan pendedahan kepada landskap perniagaan sebenar.
“Sebagai langkah anjakan paradigma, TUBE bertujuan melahirkan belia Bumiputera yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta pekerjaan melalui keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap meluncurkan Program TUBE 11 anjuran SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy dan rakan-rakan strategik SME Corp. seperti Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi KUSKOP di Sabah iaitu SME Bank, TEKUN dan PERNAS.
Ewon berkata, sejak program TUBE diperkenalkan pada 2014, ia berjaya melatih seramai 8,543 belia dengan mewujudkan 15,872 peluang pekerjaan dan mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM194 juta.
“Apa yang membanggakan, 46.7% atau 3,879 daripada jumlah ini adalah belia Bumiputera dalam kalangan wanita,” katanya.
Beliau turut menggesa peserta TUBE 11 supaya sentiasa mengemaskini pengetahuan dan kemahiran seiring perkembangan pesat teknologi yang memberi kesan kepada perniagaan di pedalaman mahupun di bandar-bandar utama di Malaysia.
“Para peserta TUBE 11 perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan dan kemahiran masing-masing agar dapat bertindak lebih responsif terhadap perubahan dalam perkembangan ekonomi semasa.
“Bagi memastikan program latihan kali ini kekal relevan, Program TUBE 11 telah ditambahbaik dengan modul latihan yang lebih komprehensif dan selari dengan perkembangan terkini ekosistem keusahawanan,” katanya.
Katanya, ini termasuklah kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian melalui ilmu dan tips perniagaan untuk menjadi usahawan yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Dengan memanfaatkan platform digital dan strategi pemasaran yang inovatif, para usahawan dan bakal usahawan bukan sahaja boleh menjangkau pasaran tempatan, tetapi juga pasaran global dengan lebih berkesan,” katanya.
Ewon berkata, dalam usaha memperkukuhkabn ekosistem keusahawanan di Sabah, KUSKOP akan mewujudkan Hab PKS @ Sabah, di Pejabat SME Corp Malaysia.
“Ini merupakan satu langkah dan usaha penting Kerajaan Madani melalui kementerian saya, dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di Sabah.
“Hab PKS @ Sabah ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi usahawan mendapatkan akses kepada sumber pengetahuan keusahawanan, bimbingan perniagaan dan peluang jaringan perniagaan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Selain itu, katanya Kerajaan Madani juga telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan kewangan dan bukan kewangan untuk membantu para usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan.
“Selain Program TUBE, KUSKOP melalui SME Corp. Malaysia, telah melaksanakan program-program keusahawanan lain seperti program pembiayaan alternatif Tunas-i dan Bumiputera MSMEs Financing Initative (BMFI)@BEEP yang menawarkan pembiayaan patuh syariah dan peluang untuk menambahkan modal perniagaan.
“Bagi usahawan Bumiputera yang berjaya membangunkan perniagaan sehingga ke tahap sedia mengeksport, akses kepada pembiayaan dalam bentuk geran bersamaan disediakan melalui program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) untuk menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global,” katanya.
Ewon turut menggalakkan semua peserta untuk aktif dalam rangkaian alumni TUBE peringkat kebangsaan seperti PERTUNAS dan khususnya PANTAS di Sabah.
Katanya, rangkaian ini akan menjadi platform penting untuk bertukar-tukar idea, berkongsi pengalaman, dan menjalin kerjasama strategik dalam mengembangkan perniagaan.
Program TUBE 11 di Semenanjung Malaysia seperti di Zon Utara, Zon Pantai Timur, Zon Tengah/ Selatan dan juga di Sarawak akan memulakan latihan pada Mei depan.