KOTA KINABALU, SABAH – Acara Car Culture yang diadakan baru-baru ini di Tempat Letak Kereta Bertingkat Foh Sang telah mencetuskan pelbagai aduan daripada orang awam.
Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang cadangan penganjuran acara pada masa hadapan.
Setiausaha Politik kepada YB Phoong Jin Zhe, Chan Loong Wei, berkata pihaknya tidak menentang sebarang penganjuran acara di lokasi tersebut, namun acara yang dianjurkan mestilah sejajar dengan tujuan asal bangunan itu.
“Tempat letak kereta bertingkat ini dibina untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk serta orang awam. Sebarang acara yang diadakan di sini perlu mengambil kira kepentingan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak DBKK tidak sepatutnya meluluskan acara yang boleh menimbulkan pencemaran bunyi atau gangguan kepada komuniti sekitar, terutamanya memandangkan lokasi bangunan itu yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan komersial.
“Kami menggesa DBKK untuk mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil tempatan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang jelas untuk penganjuran acara di kawasan ini,” tambahnya.