KOTA KINABALU: Tiada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku semasa acara Car Culture di kawasan letak kereta Foh Sang pada Ahad lalu.
Penaja utama acara, Dato Fadli Fathullah, berkata program anjuran CULT itu merupakan acara santai untuk semua ahli kelab permotoran di kawasan tersebut.
“Penggunaan tapak letak kereta tersebut telah mendapat kelulusan rasmi daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini bukanlah alasan untuk mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan tanpa melakukan siasatan terlebih dahulu.
“Acara ini adalah rasmi dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sebelum ia diluluskan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Presiden Persatuan Permotoran Borneo Sabah (PERMOS) dan Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS) itu berkata, pihak berkenaan perlu menyiasat perkara tersebut dengan teliti sebelum sebarang tindakan diambil.
“Semua ahli persatuan juga telah dimaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang,” tambahnya.
Fadli menegaskan bahawa acara itu bertujuan untuk menggalakkan golongan belia menjalankan aktiviti permotoran secara sihat dan terarah.
Jelasnya, program permotoran tersebut diwujudkan untuk memberi ruang kepada peminat sukan menjalankan aktiviti secara sihat dan memberi impak positif kepada masyarakat, termasuk penyebaran maklumat berkaitan undang-undang jalan raya.
“Langkah ini juga bertujuan mengubah persepsi negatif sesetengah pihak terhadap aktiviti permotoran.
“Golongan belia yang kini semakin aktif dalam sukan permotoran dapat menggunakan platform ini untuk menyatukan komuniti permotoran di negeri ini, menyokong perkembangan sukan permotoran secara positif, sambil menjalankan aktiviti kebajikan masyarakat,” tegasnya.
Acara itu mendapat kecaman daripada penduduk sekitar disebabkan bunyi bising. Difahamkan, anggota polis turut dipanggil ke lokasi untuk memberikan amaran serta nasihat kepada peserta.
Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe, sebelum ini mengeluarkan kenyataan menggesa DBKK untuk mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil tempatan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang jelas untuk penganjuran acara di kawasan terbabit.