Advertisement

Riduan Juara Pertandingan Super Mega Game Fishing di Sipitang, Bawa Pulang RM50,000 – Sabah News

KOTA KINABALU: Riduan dari Kota Belud mencipta sejarah dengan menjuarai pertandingan Super Mega Game Fishing di Kolam Tasek Naga, Sipitang, sempena pembukaan pengurusan baharu Kolam Si Aunty pada Ahad lalu.

Kemenangan ini melayakkan Riduan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

Pertandingan memancing tersebut menarik penyertaan ramai peserta dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak, Labuan, dan Semenanjung, serta pemancing dari negara jiran, Brunei.

Seorang jurucakap pengurusan Kolam Si Aunty menyatakan penghargaan di media sosial kepada semua yang terlibat, khususnya pengendali kolam di seluruh Sabah, kumpulan pemancing, individu, penjual, kakitangan, dan pengunjung yang menyumbang kepada kejayaan acara tersebut.

Berdasarkan sambutan positif yang diterima, pengurusan Kolam Si Aunty berkomitmen untuk meneruskan acara ini pada masa akan datang dan mempelbagaikan jenis pertandingan bagi menarik lebih ramai pemancing.

Acara Mega Game Fishing seterusnya di Kolam Tasek Naga dijadualkan pada 27 April.

Mereka yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi pengurusan Kolam Si Aunty di talian 016-8226357 (Pengurusan) dan 011-33319712 (Pacak).

Pengurusan Kolam Si Aunty menjangkakan lebih banyak kumpulan pemancing dan individu dari pelbagai kawasan, negeri, dan negara akan menyertai festival memancing ini, sekali gus membantu mempromosikan Sipitang sebagai destinasi pelancongan.