KOTA KINABALU: Lawatan kerja rasmi seterusnya kunjungan hormat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kepada Kepala Kepolisian Daerah (KAPOLDA) Polisi Republik Indonesia (POLRI) Kalimantan Utara (KLATARA) baru-baru ini membantu memperkukuh kerjasama antara PDRM dan POLRI meliputi aspek kepolisan, keselamatan sempadan, serta hubungan diplomatik antara dua negara.
Pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Polisi POLDA Kalimantan Utara (KALTARA) Bulungan Indonesia itu telah membincangkan kerjasama operasi kepolisan serta keselamatan yang melibatkan sempadan kedua-dua negara.
Polis Sabah dalam satu kenyataan media berkata, dalam pertemuan itu, perbincangan tertumpu isu keselamatan, selain turut bertukar pandangan dan pendapat berkenaan isu-isu semasa yang secara tidak langsung turut menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua hala antara PDRM Sabah dan Negara Indonesia amnya.
“Sambutan rasmi oleh pihak POLRI mencerminkan komitmen pihak INDONESIA dalam menjalinkan kerjasama erat.
“Perbincangan yang terhasil ini dijangka memberikan manfaat besar dalam usaha meningkatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia dan membina hubungan erat antara kedua-dua pasukan selain meningkatkan pengawasan sempadan dan mengekang jenayah rentas negara,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Ketibaan Jauteh telah disambut oleh Yang Terhormat Bapak Inspektor Jenderal (Irjen) Polisi Hary Sudwijanto, S.I.K., M.Si Kepala Kepolisian Daerah (KAPOLDA) Kalimantan Utara, diiringi Yang Terhormat Bapak Brigadir Jenderal (Brigjen) Polisi Soeseno Noerhandoko, S.I.K., wakil Kepala Kepolisian Daerah (WAKAPOLDA) Kalimantan Utara serta Yang Terhormat Bapak Komisaris Besar Polisi (KOMBES) Audy Alfrits Herman Manus, S.I.K., M.Si., C. Fr.A, Inspektorat Pengawasan Daerah (ITWASDA) Polda Kaltara.
Yang turut hadir, SAC Datuk Azmi bin Abdul Rahim – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, SAC Abd Rahman bin Ishak – Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah, Para pejabat utama Polda Kaltara/Divisi Hubungan Internasional (DIVHUBINTER) POLRI Jakarta, serta delegasi dari PDRM Kontinjen Sabah, ASP Ahmad Shafez Bin Adil – Pegawai Perhubungan Polis DiRaja Malaysia (MPLO) Tarakan, Kalimantan Utara, Indonesia, AKBP Muliyawaty Syam,SIK,MM – Police Consul and Liasion Officer,Indonesian Consulate in Tawau.