Advertisement

UMNO Sabah Mempunyai Hak Pilih Rakan Gabungan Hadapi PRN-17 – Bung Moktar – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan UMNO Sabah mempunyai hak untuk memilih siapa rakan gabungan mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, beliau berkata, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik tersebut, UMNO Sabah kekal dengan pendirian untuk memberi keutamaan dalam memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

Menurutnya, dalam usaha mengembalikan UMNO Sabah ke landasan yang tepat semua pihak perlu menyedari bahawa perjalanannya tidak mudah, malah penuh dengan cabaran dan rintangan.

“Namun, dengan keazaman dan kebijaksanaan kepimpinan serta seluruh ahli UMNO Sabah, segala kesulitan dihadapi sebelum ini berjaya diatasi.

“Hari ini, UMNO Sabah berdiri kukuh di landasan yang benar. Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, UMNO Sabah sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang PRN17.

“Dalam ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau baru-baru ini, beliau telah menegaskan betapa pentingnya UMNO dan BN Sabah menjadi kuasa politik dominan dalam PRN-17 akan datang.

“Beliau turut mengingatkan kita agar tidak lagi mudah percaya dengan janji-janji manis pihak tertentu mahu bekerjasama, tetapi akhirnya hanya merugikan UMNO Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Bung berkata, berdasarkan pengalaman lalu, UMNO Sabah telah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik.