SEPANG: Syarikat penerbangan AirAsia terus komited dalam menawarkan tambang penerbangan berpatutan terutamanya semasa musim perayaan.
Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, syarikat telah menyediakan lebih 16,000 tempat duduk melalui lebih 90 penerbangan lewat malam dengan tambang tetap antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak.
Bermula 28 Mac 2025 hingga 5 April 2025, para tetamu boleh menempah tambang tetap pada RM328 sehala bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta Johor Bahru dan Kuching serta Sibu.
Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, serta antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, boleh didapati dengan tambang tetap pada RM388 sehala dan tempahan boleh dibuat bermula kelmarin (26 Februari) sehingga 5 April 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.
Selain lebih 90 penerbangan lewat malam pada tambang tetap bagi 10 laluan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah, Sarawak, dan Labuan bagi menyokong inisiatif kerajaan sepanjang musim perayaan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
“Inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499** serta program FLYsiswa adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan beban kewangan para penumpang, khususnya para pelajar yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kami akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan.
“Inisiatif tambang tetap AirAsia untuk Hari Raya ini adalah langkah penting dalam menjadikan perjalanan lebih inklusif, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia pulang beraya bersama keluarga tanpa membebankan mereka. Kerjasama kerajaan dan rakan industri penerbangan ini membuktikan misi bersama kami untuk berkhidmat kepada rakyat, terutama semasa musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pihaknya memahami betapa pentingnya sambutan Hari Raya ini.
“Justeru, kami berusaha untuk menawarkan lebih 16,000 tempat duduk pada tambang tetap bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan tambang berpatutan. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran operasi, kami tetap bersedia dan komited untuk menawarkan penerbangan ini untuk semua.
“Kami telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih dua dekad dan inisiatif ini adalah bukti komitmen kami kepada para tetamu disaat yang memerlukan.
“Kakitangan kami iaitu Allstars terus bekerja keras untuk memastikan perjalanan lancar supaya para tetamu dapat menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga mereka dengan tambang berpatutan khususnya ke Sabah dan Sarawak. Kami akan terus berusaha untuk membantu para tetamu pulang ke kampung halaman di musim perayaan ini,” katanya juga dalam satu kenyataan sama.
Para tetamu yang akan membuat perjalanan pada musim perayaan ini digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan aplikasi AirAsia MOVE, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki pesawat.
Para tetamu juga disarankan untuk tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan bagi memastikan semua urusan perjalanan berjalan lancar semasa tempoh puncak ini.
*Promosi tambang tetap yang dinyatakan adalah untuk perjalanan sehala, termasuk caj perkhidmatan penumpang, surcaj bahan api, dan fi lain yang berkaitan. Sah untuk penerbangan terpilih sahaja. Tertakluk kepada terma & syarat.
**Penerbangan dengan tambang asas kurang daripada RM499 akan dijual pada tambang semasa. Tambang tidak boleh dikembalikan dan tertakluk kepada terma dan syarat lain. Subsidi kerajaan untuk pembelian tiket kelas ekonomi sehala melebihi RM499 dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak, dan Labuan adalah sah empat hari sebelum Hari Raya.