Advertisement

Pencarian Unduk Ngadau Daerah Tuaran 2025 Bermula – Sabah News

TUARAN: Pencarian ratu kebanggaan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) kembali lagi dengan pembukaan pendaftaran Unduk Ngadau Peringkat Daerah Tuaran 2025.

Sumandak dari Tuaran, Tamparuli, dan Kiulu berpeluang menyertai pertandingan ini bagi merebut tiga gelaran utama, iaitu Unduk Ngadau Tuaran, Unduk Ngadau Tamparuli, dan Unduk Ngadau Kiulu.

Menurut penganjur, sesi pendaftaran dan pemilihan Top Finalis akan diadakan pada 14 Mac 2025 bertempat di Dewan Seri Sulaman bermula jam 8 pagi.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian bermula 22 Februari hingga 8 Mac 2025 melalui borang pendaftaran rasmi yang boleh diakses menerusi pautan yang disediakan.

Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi simbol penghormatan kepada legenda Huminodun, yang melambangkan pengorbanan dan kasih sayang dalam budaya Kadazan Dusun.

Peserta bukan sahaja dinilai dari segi kecantikan, tetapi juga keperibadian, kefahaman terhadap budaya, serta kebolehan dalam mengangkat martabat warisan suku kaum masing-masing.

Pemenang bagi setiap kategori akan mewakili daerah mereka dalam Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2025, yang akan berlangsung sempena Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang pada bulan Mei nanti.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012-845 3254 (Gail).