KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) didesak untuk memantau harga sewa tapak bazar Ramadan di seluruh Sabah.
Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan kepentingan tindakan ini berikutan laporan mengenai peningkatan ketara harga sewa akibat peruntukan tapak kepada pihak kedua.
Beliau berkata, pemantauan penting bagi mengelakkan tapak sewa ini disewakan semula kepada pihak ketiga.
“Sudah diketahui umum bahawa ramai peniaga di bazar Ramadan bukan peniaga tetap, mereka mencari pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim perayaan.
“Usaha membantu peniaga bazar Ramadan perlu menjadi keutamaan setiap PBT kerana ini bukan masanya untuk mengutamakan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jeffery, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, menegaskan bahawa kadar sewa perlu adil kepada semua peniaga dan pada kadar berpatutan agar mereka tidak terbeban dalam mendapatkan modal untuk berniaga di bazar.
“Inilah masanya, lebih-lebih lagi ketika kita bersama-sama menyambut bulan Ramadan, untuk mengamalkan konsep bantuan supaya peniaga bazar dapat menjana pendapatan tambahan sepanjang bulan puasa tanpa terbeban dengan kos sewa yang tinggi,” tambahnya.