Advertisement

Malaysia Berjaya Tempatkan Benih Warisan di SGSV Sebagai Persiapan ‘Hari Kiamat’ – Sabah News

SHAH ALAM – Malaysia berjaya menempatkan benih warisan dan varieti tradisional di Svalbard Global Seed Vault (SGSV) yang terletak di Pulau Longyearbyen, Norway bagi tujuan persiapan ‘Hari Kiamat’.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi satu kenyataan di TikTok berkata, struktur kebal itu terletak dalam keadaan tanah beku kekal (permafrost) dengan suhu semula jadi kurang daripada 18 darjah Celsius.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Projek Biodiversity for Opportunities, Livelihoods and Development (BOLD) dengan dana diperoleh daripada CropTrust.

“Sumber genetik daripada koleksi MyGeneBank dan Bank Gen Padi Kebangsaan MARDI yang dikumpulkan sejak 1977 dipilih sebagai simpanan pendua di Svalbard,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, antara benih yang dihantar termasuk varieti tradisional seperti padi, terung, dan kacang panjang.

“Sebanyak 725 aksesi tanaman telah di duplikasi di sana menerusi dua penghantaran yang dilakukan pada Mei dan Disember 2024.

“Pada 26 Februari lalu, pintu SGSV dibuka buat kali pertama pada 2025 untuk menerima deposit benih dari Malaysia serta 20 negara lain,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan keterjaminan dan ketersediaan sumber genetik makanan negara sekiranya berlaku bencana yang menjejaskan kemudahan penyimpanan sumber genetik tempatan.

“SGSV dikenali sebagai ‘doomsday vault’ kerana fungsinya sebagai benteng perlindungan terakhir bagi benih-benih penting dunia.

“Dengan penyimpanan ini, Malaysia kini mempunyai salinan sandaran bagi tanaman penting negara sekali gus memastikan kelangsungan sumber makanan untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan SGSV yang dikenali sebagai sebuah bilik kebal yang menyimpan benih tanaman makanan dari seluruh dunia sebagai persiapan ‘hari kiamat’, menerima lebih 14,000 sampel baharu.

Ia terkenal dengan fungsinya untuk menyimpan benih tanaman makanan dari seluruh dunia.

Bilik kebal ini terletak di sebuah gunung di pulau terpencil Svalbard, Norway, ia dibina bertujuan untuk melindungi genetik tanaman daripada bencana besar seperti peperangan nuklear dan perubahan iklim.

Dilancarkan pada tahun 2008, ia telah menjadi penyelamat bagi bank benih dunia, menyimpan kod genetik bagi ribuan spesies tumbuhan. Ia dilindungi oleh lapisan permafrost yang membekukan sampel-sampel benih tersebut, memastikan ia kekal dalam keadaan baik untuk jangka masa yang panjang.