PENAMPANG: Seorang pemuda tempatan berusia 24 tahun ditahan polis di daerah ini pada awal pagi Sabtu kerana memiliki dadah jenis ketamin.
Polis Penampang dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut dilaksana oleh Pasukan Task Force Balai Polis Penampang yang mendapati pemuda tersebut memiliki dadah jenis ketamin seberat 0.58 gram.
Pemuda tersebut seterusnya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berserta barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sekiranya anda ada maklumat berkaitan apa-apa kes jenayah, dadah dan sebagainya, boleh kongsi dan salurkan maklumat anda di Balai Polis Penampang atau balai yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.