Advertisement

Tun Musa Aman Seru Umat Islam Hayati Ramadan, Empati Kepada Golongan Serba Kekurangan – Sabah News

KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman, mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam sempena bulan Ramadan.

Umat Islam mula berpuasa pada hari Ahad, seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam siaran di RTM malam tadi.

Menurut Tun Musa, puasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan memberikan pelbagai pengajaran yang mendalam kepada umat Islam.

Beliau menekankan bahawa salah satu hikmah besar di sebalik ibadah puasa ialah membangkitkan rasa empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri menyeru umat Islam agar menghayati ajaran Islam yang menekankan sifat belas ihsan serta mengamalkan sikap membantu mereka yang memerlukan.

“Ibadah puasa di bulan Ramadan menjadi platform untuk umat Islam merenung nasib serta kebajikan golongan miskin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Istana.

Sementara itu, satu majlis doa kesyukuran dan bacaan Yasin telah diadakan di Istana Negeri malam tadi bersempena dengan penetapan awal Ramadan.

Tun Musa turut hadir dan menunaikan solat Maghrib serta Isyak secara berjemaah, selain membaca Surah Yasin dan menyertai tahlil bersama kira-kira 120 tetamu.

Majlis tersebut dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Negeri, Haji Suaidi Kuanting.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmy Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; serta beberapa Pembantu Menteri.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sohibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Jaafar, membacakan hasil cerapan anak bulan yang dilakukan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan kepada Yang di-Pertua Negeri.