Advertisement

Tidak Undur Walau Setapak, Parti KDM Teruskan Perjuangan – Wetrom – Sabah News

PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju parti, selepas Presiden Peter Anthony dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu gagal dalam rayuan akhir hari ini bagi mengetepikan sabitan memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan penipuan 11 tahun lalu.

Memetik FMT, Timbalan Presiden KDM, Wetrom Bahanda, berkata walaupun barisan kepimpinan dan penyokong kecewa dengan keputusan itu, ia tidak bermakna perjuangan parti terhenti, malah bersemangat untuk berjuang pada PRN17 akan diadakan pada bila-bila masa.

“Tidak sesekali kami akan berundur ke belakang walau setapak, kami akan teruskan perjuangan ini, segala perancangan yang dibuat presiden dan pimpinan tertinggi parti akan diteruskan termasuklah perjuangan kami pada PRN17 nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menyeru penyokong KDM terus memberikan sokongan padu kepada parti demi Sabah tercinta.

“Kami sudah menempuh pelbagai rintangan termasuk apa yang berlaku pada hari ini, kami akan terus hadapi apa jua rintangan dan cabaran di masa hadapan, demi negeri yang kita cintai,” katanya.

Sebelum ini, Peter dalam ikat jamin RM80,000 sementara menunggu rayuannya.

Beliau akan kehilangan kerusi DUN Sabah, melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, memandangkan kesalahan dilakukan di Putrajaya.

Perkara 17(1) Perlembagaan Sabah menyatakan bahawa seorang Adun yang dipilih atau dinamakan akan hilang kelayakan jika dia telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah undang-undang di mana-mana bahagian persekutuan.

Peruntukan itu juga menyatakan bahawa kehilangan kelayakan akan berkuat kuasa jika hukuman penjara setahun atau lebih dikenakan, dan denda RM2,000 atau lebih tinggi.

Peter, 53, adalah bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah ketika Warisan berkuasa antara 2018 hingga 2020.

Peter ketika menjadi pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didapati bersalah memalsukan surat bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.