PENAMPANG: Anak Peter Anthony, Priscella, 27 tahun kini menerajui Parti Kesejahteraan Demokratik (KDM) sebagai Presiden selepas Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bermula Selasa lalu atas keslahan memalsukan dokumen 11 tahun lalu.
Priscella yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden KDM akan dibantu seorang lagi Timbalan, iaitu Datuk Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dan Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu.
Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dipengerusikan oleh Wetrom, semalam.
Setiausaha Agung KDM, Willie Jude, dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan parti, terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Keputusan ini dibuat dengan sebulat suara dan penuh permuafakatan kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal jika apa-apa berlaku, termasuk hal yang berkaitan kes Datuk Presiden (Peter).
“Ia juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah seorang pengasas parti dan Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkannya.
“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti, dan saya yakin dengan hubungan yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu menghadapi setiap rintangan selepas ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Willie berkata, mesyuarat turut memutuskan bahawa KDM kekal dengan pendirian sebelum ini untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.
Selain itu, beliau berkata, segala perancangan parti termasuk yang telah dibuat oleh Peter, akan diteruskan.
“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun. Ini perjuangan untuk Sabah dan rakyat,” katanya.