Advertisement

Wanita Cedera Parah Dalam Runtuhan Lantai Tingkat Satu di Segama – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 55 tahun mengalami kecederaan parah selepas terperangkap dalam runtuhan lantai tingkat satu sebuah restoran di Jalan Segama, malam Jumaat.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 8 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi lima minit kemudian.

Seramai 13 anggota bomba yang diketuai oleh PBK II Masri Gari dikejarkan ke tempat kejadian bersama satu jentera FRT dan sebuah EMRS.

Turut membantu dalam operasi itu adalah enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut laporan awal, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk menerima rawatan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian dan mengarahkan orang awam untuk mengosongkan bangunan bagi memastikan keselamatan.

“Setelah tiada ancaman lain dikenal pasti, operasi ditamatkan pada jam 9.38 malam,” kata pegawai jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah.