SEMPORNA: Tindakan licik seorang nelayan haram yang menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di perairan Semporna berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna dalam satu operasi khas semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, operasi yang dikenali sebagai Op PLUTO TIMUR itu dijalankan di sekitar perairan Pulau Kalapuan, lokasi yang terkenal dengan keindahan terumbu karangnya.
“Kira-kira pukul 11.05 pagi, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot pam berwarna kuning dan biru yang mencurigakan kerana tidak memiliki nombor pendaftaran.
“Ketika dihampiri, individu di atas bot bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, satu kaedah yang diharamkan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana merosakkan ekosistem marin dan membahayakan nyawa manusia.
Bot tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Pelancong Semporna untuk siasatan lanjut yang mendapati nilai rampasan mencecah hampir RM5 ribu.
Menurut Amir, kejayaan operasi ini membuktikan ketegasan Maritim Malaysia dalam melindungi sumber laut negara dan memastikan perairan Semporna bebas daripada aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.
“Kegiatan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan bukan sahaja memusnahkan habitat laut, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada industri perikanan serta sektor pelancongan yang bergantung kepada keindahan ekosistem marin,” tegasnya.