Advertisement

Kerja Baik Pulih Jalan Keningau – Kimanis Dijangka Selesai Dalam Dua Minggu – Shahelmey – Sabah News

PUTATAN: Kerja-kerja membaik pulih jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Keningau-Kimanis dijangka selesai dalam masa dua minggu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata kerja-kerja tersebut turut bergantung kepada faktor cuaca dan kestabilan tanah.

Menurut beliau, jalan berkenaan masih ditutup kepada semua kenderaan akibat daripada kejadian tanah runtuh bagi memberi laluan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama syarikat konsesi menjalankan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan berterusan serta tanah yang masih tidak stabil menyebabkan kerja-kerja pembaikan mengambil sedikit masa.

“Kita perlu memastikan jalan ini benar-benar selamat sebelum dibuka semula kepada pengguna,” jelasnya.

“Jalan Keningau-Kimanis merupakan antara laluan utama yang merentasi Banjaran Crocker dan menjadi jalan pintas menghubungkan kawasan pedalaman dengan Kota Kinabalu namun, laluan tersebut ditutup sejak Jumaat lalu akibat hujan lebat yang menyebabkan kejadian tanah runtuh,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar anjuran Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri bagi Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengalihkan penghadang jalan yang telah dipasang di kawasan kritikal memandangkan terdapat laporan mengenai tindakan segelintir pengguna jalan raya yang cuba mengalihkan sekatan di Kilometer 14.3 Jalan Keningau-Kimanis.

“Pihak JKR menutup jalan ini buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dan perbuatan tersebut amat berbahaya memandangkan kawasan yang terjejas masih belum stabil dan boleh mengundang risiko kemalangan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar patuh kepada arahan ini demi keselamatan diri sendiri,” jelas beliau.

Pada majlis tersebut, Shahelmey juga menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 40 penerima daripada golongan kurang berkemampuan sekitar Parlimen Putatan merangkumi DUN Petagas, Tanjung Keramat, dan Tanjung Aru.

Daerah Putatan menjadi lokasi keenam dalam siri Jelajah Iftar UPPM Negeri Sabah yang diadakan dengan kerjasama Kim Teck Cheong (KTC) Berhad.

Hadir sama, ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari, Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang serta Pengarah KTC Berhad, Datuk Dexter Lau. — PENERANGAN