Advertisement

IDS Laksana Misi Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Beaufort – Sabah News

Hero Meals: Usaha Bersama IDS, Kembara Kitchen, CIMB Foundation & Perwira Bantu Mangsa Banjir di Beaufort. Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Hjh. Azizah DSP Mohd. Dun (tengah) menyerahkan bekalan makanan kepada wakil petugas barisan hadapan…

KOTA KINABALU: Daerah Beaufort merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat limpahan mendadak Sungai Padas sejak Jumaat lalu, berikutan hujan berterusan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS) melaksanakan misi bantuan kemanusiaan pada 12 Mac 2025 bagi membantu mangsa yang terkesan.

Misi Pasukan D-Hub IDS ini diketuai oleh Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Hjh. Azizah binti DSP Mohd. Dun bersama Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, yang turun padang bagi meninjau keadaan serta menyantuni mangsa banjir di dua Pusat Pemidahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir dan Dewan Kebudayaan Bisaya Beaufort yang menempatkan kira-kira 625 mangsa banjir.

Penyerahan bantuan makanan sedia dimakan (RTE) atau dikenali sebagai Hero-Meals ini disampaikan oleh Datuk Seri Panglima Hjh. Azizah kepada mangsa banjir.

Bantuan ini bukan sekadar memenuhi keperluan asas, tetapi juga mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan IDS terhadap kesejahteraan masyarakat yang terjejas.

Dengan pengalaman beliau sebagai mantan Ahli Parlimen P.177 Beaufort, beliau terus berusaha dalam memastikan kebajikan penduduk setempat sentiasa terpelihara.

IDS berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir dan keluarga mereka.

Dalam satu perkongsian video di media sosial pada 10 Mac 2025 pula, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul menjelaskan bahawa berdasarkan ramalan model cuaca global yang turut digunakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), musim tengkujuh dijangka berakhir pada penghujung Mac atau awal April.

Sabah merupakan antara negeri yang masih mengalami episod hujan lebat akibat Monsun Timur Laut (MTL), yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Gelombang keempat tengkujuh yang berlaku kini berpunca daripada monsun, bukan fenomena La Niña. Walaupun La Niña dijangka bermula pada hujung 2025 hingga pertengahan 2026, kesannya belum lagi mempengaruhi cuaca semasa di Sabah.

Menyedari kepentingan kesiapsiagaan menghadapi bencana, IDS telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh tindak balas kecemasan.

Sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang ini, IDS melalui inisiatif D-Hub bekerjasama dengan 20 NGO dari seluruh Sabah, termasuk Kembara Kitchen, CIMB Foundation dan Perwira.

Pasukan CSR IDS sentiasa dalam keadaan siap menghadapi sebarang kemungkinan dengan memantau situasi bencana secara sistematik serta menyalurkan bantuan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan komuniti terjejas menerima sokongan yang sewajarnya.

Usaha ini bukan sahaja membantu dalam penyelarasan bantuan kecemasan, tetapi juga berperanan dalam memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap bencana alam pada masa hadapan.

Antara mangsa banjir yang menerima bantuan di PPS ialah Nurashilah Athirah Samrah, Ag. Aziz Ag. Hassan, Mariam binti Karim, Salliah binti Awang, Zakaria @ Shawal Botui, Harmayani binti Haeri Wong, dan Siila Ad Samat.

IDS komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menjamin kesejahteraan mangsa bencana dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.