Advertisement

DBKK Perketat Tindakan Tangani Pengemis, Palauh Jadi Cabaran – Sabah News

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat usaha menangani pengemis bagi menjaga ketenteraman dan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan.

Timbalan Pengarah DBKK (Sektor Pembangunan Luar Bandar), Karim Rahim, berkata pengemis Palauh menjadi cabaran kerana mereka tidak memiliki dokumen, menyebabkan DBKK hanya boleh mengalihkan mereka daripada kawasan awam.

“DBKK bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah (JPKS) dan polis sentiasa berusaha menangani isu ini. Mereka yang ditahan akan ditempatkan di rumah perlindungan sementara, namun tindakan lanjut masih dibincangkan,” katanya.

Pemerhatian DBKK mendapati mereka sering muncul di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Masjid Negeri Sabah, dengan golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas antara yang terlibat.

Karim percaya mereka mempunyai ejen yang menyediakan tempat tinggal dan maklumat pergerakan pihak berkuasa, menyebabkan mereka sukar ditangkap.

Dalam majlis kempen kesedaran pengemis, Pengarah JPKS Jais Asri menasihati orang ramai agar tidak memberi wang kepada pengemis, sebaliknya berbual dengan mereka untuk membuatkan mereka tidak selesa.

“Ada saluran rasmi untuk menderma, elakkan beri terus kerana ia mungkin digunakan untuk perkara tidak baik,” katanya.