KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus mempergiatkan usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) serta majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah menerusi operasi Ops Gegar yang dilaksanakan pada 13 Mac lalu.
Operasi yang dijalankan dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam itu menyasarkan premis refleksologi dan spa di sekitar Kota Kinabalu yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit sah.
Hasil serbuan di dua lokasi berasingan, seramai 14 individu warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof, operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
“Operasi sebegini akan terus diperhebat bagi mengekang kemasukan dan penggajian PATI yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah yang ditahan, 10 individu merupakan warganegara Filipina, manakala 3 adalah perempuan dewasa dari China dan seorang lagi perempuan Filipina.
Seorang majikan tempatan turut ditahan kerana dipercayai menggaji pekerja asing secara tidak sah.
Selain tangkapan, beberapa barangan turut dirampas bagi membantu siasatan, termasuk lesen perniagaan, wang tunai berjumlah RM764 dan RM800 dari dua lokasi berasingan, buku log operasi serta penanda magnet.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus diperketat untuk mengesan dan menangkap pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit bagi membantu usaha membanteras aktiviti ini.