Advertisement

Kerajaan GRS Buktikan Kejayaan, Tuduhan Gagal Retorika Politik – Azrul – Sabah News

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus berdepan dengan pelbagai tuduhan politik, termasuk dakwaan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor gagal dalam mentadbir negeri.

Namun, Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, menegaskan bahawa rekod pencapaian kerajaan GRS membuktikan sebaliknya.

Menurut Azrul, kejayaan kerajaan GRS boleh diukur melalui peningkatan hasil negeri yang melonjak hampir RM7 bilion, berbanding purata RM3.9 bilion ketika pentadbiran terdahulu.

“Dengan hasil yang lebih tinggi, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai program kebajikan rakyat seperti Rumah Mesra SMJ yang memberikan rumah percuma kepada hampir 4,000 keluarga susah, serta program Sentuhan Kasih Rakyat yang membantu 100,000 golongan miskin dengan bantuan bulanan RM300 selama setahun.

“Jika GRS benar-benar gagal, bagaimana kerajaan negeri boleh menstabilkan ekonomi Sabah dengan pertumbuhan 4.5 peratus selepas mengalami kemerosotan sejak 2018?

“Bagaimana kerajaan ini boleh menarik pelaburan besar seperti Kibing, SK Nexilis dan Eco Oils yang membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah?” soal Azrul dalam sebuah kenyataan.

Beliau juga menekankan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan geran khas persekutuan daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta, serta kejayaan SMJ Energy Sdn Bhd dalam industri minyak dan gas, dengan modal meningkat daripada RM50 juta kepada RM5.1 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun.

Azrul turut membandingkan rekod kerajaan terdahulu yang menurutnya bertanggungjawab terhadap kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

“Bukankah mereka yang menukar dasar projek pada tahun 2019 hingga menyebabkan ia tergendala?

“Kini, hasil kerjasama erat kerajaan negeri GRS dan Persekutuan, projek ini kembali rancak dengan beberapa pakej telah siap dan selebihnya dijangka selesai menjelang 2028,” tambahnya.

Dalam aspek penyelesaian isu air dan tenaga, Azrul menyebut pelbagai inisiatif kerajaan negeri seperti pembinaan empangan di Tenom dan Tawau, loji rawatan air di beberapa daerah, serta projek tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro dan solar farm di 15 lokasi seluruh Sabah.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru rakyat Sabah untuk menilai pencapaian sebenar kerajaan sebelum membuat keputusan dalam PRN17.

“Masa depan negeri ini bergantung kepada pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang jelas. Rakyat Sabah harus bersatu dan memilih kerajaan yang telah terbukti membawa kemajuan,” katanya.