PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini memaklumkan bahawa, tiada keputusan akan dibuat pada Rabu, berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, menyatakan demikian ketika prosiding bermula pada jam 12.15 tengah hari.
“Hari ini, kita dengar rayuan perayu, Syed Saddiq terlebih dahulu, dan akan berhenti seketika untuk rehat tengah hari.
“Esok, kita boleh sambung dengan hujahan daripada pihak pendakwaan,” kata Hakim Ahmad Zaidi, lapor Sinar Harian.
Prosiding kemudiannya dimulakan dengan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Syed Saddiq, 33, berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan bahawa hujahan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Mac.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bekas Ketua Armada Bersatu itu kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Beliau yang juga anak kelahiran Johor Bahru berkata, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang apabila mensabitkannya atas empat kes itu.
Katanya, hakim gagal untuk mengambil kira, memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, maka perbuatan perayu seperti tertera dalam pertuduhan pertama tidak terjumlah kepada kesalahan di bawah seksyen terbabit.
Akibat kegagalan ini katanya, hakim terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.