TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal dalam satu operasi di sekitar kawasan Jalan Kampung Jawa, Tawau pada tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas sepasukan Polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau hasil dari maklumat awam.
Katanya, ketika rondaan cegah jenayah dijalankan, pihak Polis telah mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai terlibat dalam kejadian kecurian motosikal yang dilaporkan hilang baru-baru ini. Bagaimanapun, siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Sebelum itu, satu laporan Polis telah dibuat oleh mangsa berusia 40-an mengatakan motosikal miliknya disedari telah hilang di sekitar kawasan rumah di kampung Batu 5, Jalan Apas Tawau kira-kira jam 7.30 pagi, 24 Febuari yang lalu.
Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.