TAWAU: Seorang lelaki disyaki penagih ditahan dalam satu operasi di sekitar kawasan kampung Tanjung Batu Laut, Tawau petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Ujarnya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan yang sama.
“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek serta kemungkinan penglibatannya dalam aktiviti pengedaran,” tambahnya.
Tambah ACP Jasmin, beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membanteras gejala ini di daerah Tawau khususnya.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan sentiasa memantau serta berwaspada terhadap setiap gerak geri penjenayah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara walaupun di bulan ramadan,” tegasnya.