KOTA KINABALU: Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman diraikan pada Ahad ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, selaku pengerusi majlis sambutan itu, berkata perkara berkenaan selaras dengan warta kerajaan negeri berhubung penetapan tarikh baharu itu.
Berikutan itu, katanya, sebanyak tujuh acara diatur bagi mengisi sambutan majlis berkenaan yang bermula Ahad ini hingga 21 Jun ini.
“Selaras dengan Warta Kerajaan Negeri Sabah, tarikh Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri adalah pada 30 Mac (Ahad).
“Bagaimanapun, sambutan bersempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ini akan berterusan hingga 21 Jun 2025 yang mana dalam tempoh itu ada tujuh acara rasmi yang berlangsung di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ia adalah sambutan pertama bagi Tun Musa selepas bekas Ketua Menteri Sabah itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Semalam, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pertama sambutan itu selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah berkaitan acara yang dicadangkan dan perbelanjaannya.
Beliau berkata, empat daripada tujuh acara yang disusun pada sambutan itu akan berlangsung pada 21 Jun ini iaitu Istiadat Perbarisan, Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad Istiadat Perbarisan, Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Bintang-Bintang Serta Pingat Kebesaran Sabah dan Majlis Jamuan Negeri.
Katanya, tiga acara selebihnya iaitu Majlis Bacaan Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Hari Etnik Sabah dan Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa Dan Anak-Anak Yatim diadakan sebelum 21 Jun.
“Penganjuran program dan acara sepanjang sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT ini juga dibantu oleh pelbagai kementerian dan agensi negeri dan persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, satu Warta Kerajaan Negeri berhubung pemberitahuan 30 Mac sebagai hari kelepasan am di Sabah oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dikeluarkan atas perintah TYT pada 6 Mac lalu.
Tarikh baharu itu menggantikan tarikh sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Sabah yang sebelum ini diadakan pada Sabtu pertama Oktober.
Disebabkan sambutan kali ini jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya, (31 Mac) adalah cuti ganti kelepasan am bagi Sabah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT.
Jika sambutan Aidilfitri 1 Syawal jatuh pada 31 Mac, maka cuti ganti bagi sambutan itu dijangka dilanjutkan ke hari Rabu, 2 April, iaitu Hari Raya kedua.