Advertisement

AirAsia Haramkan Guna ‘Powerbank’ Semasa Penerbangan Bermula 1 April – Sabah News

SEPANG: AirAsia mengemas kini polisinya untuk mengharamkan penggunaan dan pengecasan bateri mudah alih (bank kuasa) / powerbank pada semua penerbangannya mulai 1 April 2025.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata, langkah ini adalah selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan global untuk mengurangkan risiko insiden berkaitan bateri semasa penerbangan.

“Para tetamu digalakkan untuk memastikan bateri mudah alih yang dibawa mematuhi peraturan syarikat penerbangan sebelum tiba di lapangan terbang untuk memudahkan proses daftar masuk dan menaiki pesawat.

“Tetamu hanya dibenarkan membawa bateri mudah alih yang tidak melebihi 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 milliampere-hour (mAh). Bateri mudah alih antara 100Wh dan 160Wh memerlukan kelulusan syarikat penerbangan di kaunter daftar masuk,” katanya, semalam.

Untuk tujuan keselamatan jelas AirAsia, bateri mudah alih mesti disimpan di dalam poket tempat duduk hadapan atau di bawah tempat duduk; bateri mudah alih dilarang disimpan di ruang simpanan atas; dilarang semasa penerbangan; dilarang digunakan untuk mengecas peranti elektronik mudah alih lain semasa penerbangan dan; dilarang diletakkan di dalam bagasi berdaftar dan mesti dibawa ke dalam kabin.

Untuk memastikan pematuhan yang lebih berkesan, AirAsia akan memaparkan amaran keselamatan di kaunter daftar masuk dan membuat pengumuman semasa menaiki pesawat dan dalam penerbangan.

AirAsia kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi selaras dengan amalan terbaik industri untuk melindungi tetamu, krew kabin dan pesawat kami daripada sebarang risiko.

Syarikat penerbangan itu menghargai kerjasama tetamu dalam mematuhi keperluan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada semua.