PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyimpanan dan pengedaran mercun serta bunga api tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Penampang-Papar Lama, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, berkata serbuan itu dilakukan hasil risikan dan intipan dalam Op Taring Landai Khas.
“Dalam operasi ini, dua lelaki tempatan berumur 31 dan 50 tahun telah ditahan selepas didapati menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen sah.
“Suspek dipercayai merancang untuk mengedarkan bahan letupan itu di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemukan longgokan kotak berisi mercun dan bunga api di dalam stor premis berkenaan.
“Suspek gagal mengemukakan lesen penyimpanan dan penjualan yang sah. Polis turut merampas sebuah lori yang digunakan dalam aktiviti ini,” katanya.
Menurut Nazri, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM831,600, merangkumi mercun dan bunga api bernilai RM756,600 serta sebuah lori bernilai RM75,000.
Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957, dan semua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.