Advertisement

Persatuan Rungus Sokong Sambutan Hari Jadi Rasmi TYT Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA), Dato’ Dr Jelani Bin Hamdan, menggesa agar pertikaian berhubung sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah bagi tahun 2025 dihentikan segera, untuk mengelakkan sebarang pencemaran imej institusi TYT di negeri ini.

Menurutnya, kekeliruan yang timbul berkaitan sambutan tersebut adalah akibat kesilapan dalam kenyataan atau penggunaan istilah yang tidak tepat oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Pelaksanaan sambutan hari jadi TYT bagi tahun 2025 ini adalah selari dengan perlembagaan negeri Sabah dan tidak ada pembaziran dilakukan. Bahkan, usaha penjimatan kos telah diterapkan secara telus dan berhati-hati,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, SAMORA juga mengesahkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak melakukan sebarang kesalahan.

Tegasnya, perbandingan dengan sambutan pada tahun-tahun sebelumnya menunjukkan penurunan kos dan bilangan aktiviti, dengan program yang lebih bersifat keagamaan dan manfaat kepada rakyat kekal diteruskan.

“SAMORA juga menyokong penuh perlantikan TYT Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang ke-11, dan menegaskan sokongan terhadap kepimpinan TYT Tun dalam mengelakkan sebarang polemik berterusan.

“Semoga tiada lagi isu yang timbul, baik soal perlantikan TYT Tun atau sambutan Hari Jadi TYT Tun,” tambah Jelani.