Advertisement

Dewan Serbaguna Bernilai RM2 Juta Bakal Dibina di Merotai – Sabah News

TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kenal pasti tapak tanah bagi pembinaan Dewan Serbaguna bernilai RM2 juta, yang bakal dibina di Merotai.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Brig Jen (B), Tan Sri Datuk Liew Yun Fah JP berkata, ia susulan daripada pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk pembinaan dewan baharu berkenaan pada 16 Februari lalu.

Katanya, lokasi yang dikenal pasti itu akan mengambil kira pembinaan tiga infrastruktur termasuklah dewan, kawasan parkir kenderaan dan padang dengan keseluruhan keluasan lebih 1.2 hektar.

Menurutnya lagi, pemilihan kawasan itu turut mengambil kira kedudukan tanah yang tinggi, bebas banjir, selain pemilihan cadangan tapak terletak dalam pelan perancangan pembangunan jangka masa panjang iaitu pelan Pekan Merotai Baharu, berhampiran dengan Kijang Point.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri mahu melihat pembinaan dewan baharu ini menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat di Merotai termasuk membabitkan ekonomi, sosial dan kebudayaan, sekaligus mampu menjadi lokasi pusat tumpuan awam termasuk satu lagi lokasi pertubuhan ekonomi untuk anak Merotai.

“Selain dewan baharu, Ketua Menteri turut mengumumkan Peruntukan Lampu Solar sebanyak RM1.9 juta bagi pemasangan lampu solar dari kawasan persimpangan Jambatan Putih sehingga ke Kampung Sungai Udin dalam usaha menerangi jalan utama di laluan Merotai–Kalabakan serta pewartaan Kampung Melati Burut dan Kampung Iban sebagai perkampungan sah terbaharu di Merotai,” katanya.

Menurut Tan Sri Liew, ia juga membuktikan keprihatinan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu memastikan Merotai tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), biarpun ia terletak di kawasan pembangkang.