PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini pada 7 April lalu, kira-kira jam 8 malam.
Tangkapan tersebut telah dilaksana oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis telah menjumpai satu paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 5.34 gram yang dianggarkan bernilai RM800.00 dalam simpanan suspek.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” jelas Polis Penampang dalam satu kenyataan, semalam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan penjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang dari tiga kali dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pihak polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah atau dadah agar boleh berhubung lanjut di Balai Polis yang berhampiran.