KOTA KINABALU: Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama dengan tiga rakan strategik penting termasuk Marine Research Foundation (MRF), Legenda Bumimas Sdn Bhd dan Arus Oil merupakan manifestasi komitmen DBKK dalam memperkukuh kerjasama rentas sektor.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, ia dilakukan demi kelestarian alam sekitar, kecekapan pengurusan sisa dan pembangunan teknologi hijau di bandar ini.
“Ini sejajar dengan aspirasi kita untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya pintar, dinamik dan mampan yang berlandaskan prinsip pembangunan lestari serta inovasi berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara DBKK dengan MRF, Lagenda Bumimas Sdn Bhd dan Arus Oil di sini, semalam.
Tambah Sabin, kerjasama yang dimeterai bersama MRF menandakan permulaan satu kerjasama saintifik yang menyeluruh dalam usaha menangani isu pencemaran laut, khususnya akibat pembuangan sisa plastik yang terbawa melalui sistem saliran bandar ke kawasan pesisir pantai dan perairan sekitar pulau-pulau.
“MRF, sebagai sebuah organisasi penyelidikan dan pemuliharaan marin yang berpengalaman, akan bekerjasama rapat dengan DBKK untuk melaksanakan projek Marine Plastics Cleanup di perairan Kota Kinabalu.
“Melalui inisiatif ini, kedua-dua pihak akan membangunkan sebuah pelan tindakan yang menyeluruh, dikenali sebagai Marine Debris Action Plan, yang akan memandu pelaksanaan pembersihan laut secara sistematik menggunakan sebuah kapal khas yang bakal disediakan,” jelasnya.
Sementara itu katanya, MoU kedua yang dimeterai bersama Legenda Bumimas Sdn Bhd pula memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sisa pepejal, khususnya berkaitan pengendalian sisa elektronik dan elektrik atau E-Waste, yang kian meningkat selaras dengan arus digitalisasi dan gaya hidup moden.
“Usaha ini merangkumi penyusunan garis panduan yang selaras dengan piawaian perundangan semasa, pembangunan teknologi kitar semula elektronik yang selamat, dan pelaksanaan program kesedaran awam bagi mendidik masyarakat tentang bahaya
pembuangan sisa elektronik secara tidak terkawal.
“Secara tidak langsung, inisiatif ini akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta menyokong prinsip ekonomi kitaran di bandaraya ini,” katanya.
MoU ketiga pula dimeterai bersama My Protech Sdn Bhd, yang merupakan pengendali utama jenama Arus Oil, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada pengumpulan dan kitar semula minyak masak terpakai atau Used Cooking Oil (UCO).
“Pembuangan minyak masak ke dalam sistem saliran telah lama menjadi antara punca utama pencemaran longkang dan sungai, serta menyumbang kepada masalah bau dan penyumbatan sistem perparitan bandar.
“Justeru, melalui persefahaman ini, DBKK dan Arus Oil akan membangunkan satu sistem pengurusan UCO yang komprehensif dan bersepadu. Usaha ini merangkumi pembangunan garis panduan, penyediaan pusat pengumpulan minyak terpakai di kawasan strategik, serta pelaksanaan teknologi bagi menukarkan UCO kepada bahan api bio (biodiesel) yang lebih mesra alam,” ujarnya.